PAKATAN Harapan (PH) dijangka hanya berpeluang kembali memerintah negara dalam masa sekurang-kurangnya 10 tahun lagi atau selepas dua kali pilihan raya umum (PRU).
FMT yang memetik laporan Sinar Premium melaporkan, jangkaan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden PKR memberitahu, PH turut dijangka berdepan laluan sukar dan hilang banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15.
Sehubungan itu, Nurul Izzah berpandangan, PH perlu menjadi parti pembangkang bermaruah dengan menawarkan tawaran baharu yang lebih realistik berbanding PRU sebelum ini.
“Saya rasa tidak mudah untuk PH menang dalam PRU akan datang dan kita kena bersedia untuk kalah dua pusingan untuk impak lebih positif serta kembali diterima oleh rakyat.
“Kenapa saya mempunyai pandangan negatif mengenai keputusan PRU-15? Saya amat realistik kerana pada saya kita akan mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan saya sendiri masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan, sebelum ini,” katanya.
Beliau tidak yakin PH akan kembali berkuasa selepas PRU-15 adalah kerana dasar dan kegagalan mereka menunaikan manifesto PRU-14 selepas menjadi kerajaan.
Pada masa yang sama, Nurul Izzah berkata, tempoh 22 bulan PH menjadi kerajaan terlalu singkat untuk dinilai berbanding Barisan Nasional yang berkuasa selama lebih enam dekad.
“PH banyak belajar dan maklum balas rakyat daripada pengamalan itu. Jika mahu dibandingkan antara kegagalan PH menunaikan manifesto semasa menjadi kerajaan selama 22 bulan dengan BN selama lebih enam dekad memang jauh.
“Kalau dinilai jumlah manifesto berjaya dilaksanakan BN mungkin dapat markah F (gagal),” katanya.
Beliau turut meramalkan selain PH, parti lain khususnya UMNO turut berdepan kehilangan banyak kerusi pada PRU15.
“Mungkin UMNO dan BN berasa yakin boleh menang tetapi mereka kena ingat perkara itu belum pasti kerana pengundi atas pagar belum lagi mengaum sekuat mungkin.
“Ini kerana pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor berlangsung kita belum memasuki fasa peralihan endemik lagi seperti sekarang,” katanya.
“Apabila semua sektor ekonomi sudah dibuka sepenuhnya sudah pasti pengundi akan keluar beramai-ramai, saya rasa semua Ahli Parlimen patut berasa takut.”
Dalam pada itu, Nurul Izzah berharap diberi peluang sekali lagi oleh pucuk pimpinan parti untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU-15.
“Bagaimanapun, saya menghormati apa jua keputusan akhir dibuat oleh pimpinan tertinggi PKR,” katanya.
Leave a Reply