SEORANG pesara syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya gagal memotong sebuah lori di jalan simpang tiga Pak Badol, Bachok, 11.30 pagi semalam.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh, mangsa, Wan Razak Wan Jambul, 65, yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.
“Siasatan awal mendapati semasa kejadian lori yang dipandu lelaki berusia 49 tahun itu dalam perjalanan membawa batu dari kuari di Gunong Bachok menghala ke tapak pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jerus Pasir Puteh.
“Setiba di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan telah berhenti di persimpangan dan mahu membelok ke kiri jalan.
“Sebelum membelok pemandu tersebut sudah membuat pemeriksaan bagi memastikan keadaan selamat. Namun semasa membelok ke sebelah kiri, secara tiba-tiba pemandu lori itu telah terdengar bunyi geseran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, pemandu itu kemudian terus memberhentikan lorinya dan mendapati seorang lelaki bersama motosikalnya berada dalam keadaan terbaring sambil berlumuran darah.
Shuhaimi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan dari Hospital Tengku Anis.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik HUSM Kubang Kerian untuk tindakan lanjut. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Leave a Reply