Lebih 3 tan gelatin lembu dari China dirampas

LEBIH tiga tan atau 3,000 kilogram (kg) gelatin lembu dari Shandong, China yang cuba diseludup masuk ke negara ini berjaya dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang.

Rampasan barang dagangan bernilai kira-kira RM40,322 itu dilakukan hasil pemeriksaan rutin Maqis Pulau Pinang di Terminal Kargo Zon Bebas Butterworth (BWCT) di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth.

Maqis Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini berkata, produk yang dimuatkan di dalam kontena atau kargo itu dirampas kerana disyaki dibawa masuk tanpa menggunakan permit import Maqis yang sah.

Sehubungan itu katanya, kesemua dagangan tersebut kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728].

“Sabit kesalahan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam (6) tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Maqis Pulau Pinang sentiasa menjalankan pemeriksaan terhadap setiap keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara ini bagi memastikan keluaran pertanian tersebut sama ada komoditi pertanian, ikan dan haiwan mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Katanya, ini bagi menjamin keselamatan makanan serta bebas daripada perosak dan penyakit serta halal untuk dimakan oleh rakyat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *