Anwar kekal Presiden, Nurul Izzah tak bertanding tumpu kempen ‘Ayuh Malaysia’

KETIKA ramai penyokong PKR mengharapkan Nurul Izzah Anwar akan bertanding sekurang-kurangnya bagi jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu Mei ini, namun Ahli Parlimen Permatang Pauh itu membuat keputusan sebaliknya.

Dalam satu kenyataan,  Nurul Izzah Anwar berkata, beliau tidak akan bertanding dalam pemilihan pucuk pimpinan PKR bagi penggal 2022/2025 sebaliknya akan menumpukan usaha menarik pengundi yang masih di atas pagar menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

‘’Usaha menarik pengundi atas pagar itu akan dilakukan memenerusi kempen Ayuh Malaysia yang dilancarkan Rafizi Ramli baru-baru ini. Seiring dengan komitmen penuh saya kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan yang kita kasihi, saya akan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia,” katanya.

Nurul Izzah membuat pengumuman itu selepas PKR menutup pencalonan presiden, timbalan presiden dan empat jawatan naib presiden serta lima jawatan teratas dalam sayap Wanita dan Pemuda dalam pemilihan parti tahun ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai presiden parti itu selepas menang tanpa bertanding.

Pemilihan jawatan naib presiden bakal menyaksikan persaingan 18 calon, antaranya Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; ketua penerangan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin; pengarah komunikasi Fahmi Fadzil; ketua Wanita Fuziah Salleh; Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan bekas pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador.

Bagaimanapun, senarai penuh calon yang akan bertanding hanya akan dimuktamadkan esok sekiranya terdapat sebarang bantahan atau penarikan diri.

Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula pada 8 April dan berakhir 10 April, melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara.

Proses pengundian bagi pemilih secara dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *