SEORANG pelumba Go-Kart Rusia meminta maaf selepas membuat tabik Nazi ketika di atas podium dalam Kejohanan Kart Eropah di Portugal semalam.
Artem Severiukhin, 15 menepuk dada sebelum menaikkan tapak tangannya selepas menjuarai perlumbaan peringkat 11-15. Pemuda tersebut kemudiannya dilihat tergelak-gelak selepas membuat isyarat Nazi itu.
Pasukan Severiukhin, Ward Racing bertindak menyingkirkan pelumba itu selepas Persekutuan Automobil Antarangbangsa (FIA) melancarkan siasatan terhadap tindakan yang dianggap ‘tidak boleh diterima’.
Severiukhin meminta maaf dan menjelaskan beliau tidak menyokong fasisme. Beliau juga menegaskan isyarat tersebut merupakan isyarat tradisional di Itali .
“Saya ingin meminta maaf. Saya tidak menyokong Nazi dan tahu ia merupakan salah satu jenayah yang besar terhadap manusia. Saya bersedia untuk menerima hukuman namun saya tidak menyokong Nazi atau fasisme,” kata Severiukhin.
Pasukannya mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak menyokong tindakan pemuda tersebut.
“Ward Racing tidak sama sekali menyokong tindakan peribadi pelumba, Artem Severiukhin ketika majlis anugerah pada 10 April 2022. Kami berpendapat ia menunjukkan ketiadaan semangat kesukanan dan perlanggaran terhadap kod etika serta moral sukan,’’ kata kenyataan itu.
FIA mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang menyiasat peristiwa tersebut dan menarik balik kemenangan pemuda Rusia itu.
Severiukhin merupakan warga Rusia tetapi mewakili Itali dan tiada penjelasan bagaimana beliau boleh berlumba melalui penyertaan seperti itu.
Isyarat Itali yang hampir sama dengan tabik Nazi itu juga dihina di negara tersebut dan diharamkan di tempat awam sejak 1952.
Leave a Reply