SEORANG pengawal keselamatan bersama-sama dua rakannya dicekup polis selepas mencuri kabel tembaga penebat kilat di tapak pembinaan di Lipat Kajang, Jasin, pada Khamis lalu.
Semua suspek berjaya ditangkap polis kurang 24 jam selepas melakukan jenayah tersebut.
Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, tangkapan dibuat susulan laporan dibuat seorang jurutera projek di tapak pembinaan itu berhubung kehilangan 21 gelung tembaga.
Katanya, pengadu berusia 30 tahun itu memaklumkan semua tembaga berkenaan disimpan di dalam kontena di tapak pembinaan itu dan kerugian dianggarkan berjumlah RM42,000.
“Kehilangan 21 gelung tembaga itu disedari pengadu ketika memeriksa kontena itu kira-kira pukul 1 tengah hari pada 7 April lalu.
“Pengadu yang mengesyaki kehilangan tembaga ada kaitan dengan pengawal keselamatan bertugas di tapak itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Jasin,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Mispani berkata, bertindak atas laporan, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin melakukan siasatan dan berjaya menahan pengawal keselamatan berusia 35 tahun pada pukul 2 pagi, Jumaat lalu.
Katanya, penahan suspek membawa kepada tangkapan dua lagi lelaki iaitu bekas pengawal keselamatan di tempat sama berusia 31 tahun dan penganggur berusia 34 tahun.
“Hasil soal siasat, mereka mengaku mencuri empat gelung tembaga setiap satu seberat 50 kilogram dan dijual kepada seorang pembeli barangan terpakai di Batu Berendam.
“Pengawal keselamatan itu adalah dalang yang bertindak mengambil kunci kontena di pejabat sebelum mencuri empat gulung tembaga bersama suspek kedua.
“Mereka kemudiannya mengajak rakan mereka menjualnya kepada pembeli terbabit,” katanya lagi.
Mengulas lanjut Mispani berkata, polis berjaya merampas semula empat gelung tembaga dicuri itu daripada pembeli terbabit.
“Suspek menjual empat gelung tembaga itu pada harga RM6,000, namun hanya menerima RM3,000 sahaja sebelum mereka ditangkap,” katanya.
Mispani berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk kes samun, curi dan dadah, namun ujian saringan air kencing mereka adalah negatif.
“Ketiga-tiga mereka direman lima hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mispani menunjukkan empat gelung tembaga penebat kilat setiap satu seberat 50 kilogram yang dicuri tiga lelaki sebelum dijual kepada pembeli barangan lusuh.
Leave a Reply