BANJIR dan tanah runtuh yang dicetuskan ribut tropika Megi di Filipina setakat ini meragut satu nyawa manakala seorang lagi masih hilang.
Megi melanda wilayah tengah Filipina pada pagi Ahad, turut menjejaskan lebih 136,000 penduduk, lapor Xinhua.
Lebih 13,000 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan, dan sebahagian yang lain tinggal bersama saudara-mara, menurut Agensi Pengurusan Risiko dan Bencana Kebangsaan.
Terletak di Lingkaran Api Pasifik, Filipina merupakan antara negara paling kerap ditimpa bencana, termasuk gunung berapi aktif, gempa bumi dan sekitar 20 taufan membadai negara itu setiap tahun, menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh.
Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di kawasan perairan timur Condore, Reef North, Layang-Layang, Labuan, Palawan dan Sulu.
Menurut kenyataan MetMalaysia yang dikeluarkan pada 10 pagi ini, keadaan tersebut boleh menyebabkan angin kencang di kawasan perairan Sabah.
Ribut tropika Megi itu berada di kedudukan kira-kira 144 km ke barat laut Surigao City, Filipina dan 950 km ke timur laut Sandakan, Sabah dengan kelajuan angin maksimum 65 km/j.
Orang awam dinasihatkan agar lebih peka dan mengikuti perkembangan semasa mengenai situasi tersebut dan boleh mendapatkan maklumat yang dikemas kini setiap tiga jam di laman web dan aplikasi myCuaca ataupun talian hotline MetMalaysia. – BERNAMA
Leave a Reply