Gagal urus lawatan PM punca Duta Besar UAE, Konsul Jeneral Dubai dipanggil pulang

DUTA Besar Malaysia ke UAE dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai telah dipanggil pulang kerana gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepertimana yang sepatutnya berdasarkan Prosedur Operasi Tetap (SOP) pada 29 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri (KLN)  berkata, kegagalan itu termasuk Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai.

‘’Selain itu, liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk  Perdana Menteri seperti amalan SOP biasa juga tidak ada.

‘’Lazimnya, dalam apa keadaan sekalipun, seperti ketika Perdana Menteri menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York, walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan taraf tetamu, namun Ketua Perwakilan Malaysia tetap menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked yang mengikuti SOP untuk  Perdana Menteri,’’ kata kenyataan itu.

Menurut kementerian  juga menjelaskan, kedua-dua pegawai tersebut juga gagal memaklumkan kepada KLN di Putrajaya tentang penganjuran Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia (World Government Summit – WGS) yang diadakan di dalam Kawasan Ekspo Dubai. ‘’Pimpinan tertinggi KLN hanya mengetahui tentang WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain. Sekiranya pimpinan tertinggi KLN telah dimaklumkan awal tentang penganjuran WGS, pastinya usaha telah dibuat supaya Perdana Menteri menyampaikan ucapan di program tersebut,’’ katanya kenyataan tersebut.

Pada tengah hari 30 Mac, kata KLN , Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa UAE, Reem Ebrahim Al Hashimy.

‘’Melalui pertemuan tersebut, Perdana Menteri diundang menghadiri Majlis Penutup WGS pada petang 30 Mac. Masalah ini tidak akan berlaku sekiranya penyelarasan dibuat lebih awal. Ini kerana Kerajaan UAE telah menyediakan semua kemudahan kepada Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan sehingga ke akhir lawatan.

‘’Justeru, semasa majlis perlepasan pulang  Perdana Menteri dari Dubai, Kerajaan UAE telah mengaturkan static guards of honour di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, dan Kerajaan UAE diwakili oleh Menteri Negara bagi Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Digital UAE, Omar bin Sultan Al Olama,’’ kata KLN.

Semasa di lapangan terbang itu, kata kenyataan tersebut, Omar menyampaikan undangan Kerajaan UAE kepada Perdana Menteri untuk memberi Ucaputama di WGS tahun 2023, dan Perdana Menteri menyatakan persetujuannya menerima undangan tersebut.

Mengenai tindakan memanggil balik kedua-dua pegawai tersebut, KLN menjelaskan, ia bukan sesuatu luar biasa dan dibuat melalui perundingan dengan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

‘’Ia diambil bagi menjaga kepentingan hubungan bilateral di antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam,’’ kata kenyataan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *