MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ‘menghangatkan’ lagi pemilihan PKR pada Mei ini apabila mengumumkan bertanding kerusi Naib Presiden parti itu.
Ketika mengumumkan perkara tu pada sidang media yang disiarkan dalam media sosial, Amirudin berkata, keputusan itu diambilnya selepas mengadakan perbincangan dengan semua pihak terutama pimpinan PKR Selangor dan pimpinan pusat dari negeri-negeri lain.
“Pemilihan ini saya insya-Allah akan jadi penyatu dan juga pengikat kepada pengukukuhan walaupun berlaku peristiwa-peristiwa yang tidak berapa diminta sebelum ini. Tetapi saya percaya setelah melalui beberapa proses kematangan saya harapkan kita akan dapat melahirkan pemilihan yang bersih, sihat dan damai yang mampu menjadi penyatu kepada kekukuhan parti menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.
Sambil memaklumkan turut bertemu dengan Majlis Pimpinan Pusat PKR, beliau berharap, keputusan untuk bertanding itu dapat menentukan hala tuju keseluruhan kepimpinan PKR di Selangor dan sebagai landasan tepat untuk memulakan gerak kerja dan menyambung gerak kerja pilihan raya yang sudah bermula.
“Menjadi keutamaan penting kita bagi menentukan kemenangan dicapai dan diteruskan di Selangor dan mampu menjadi contoh pada negeri-negeri lain,” katanya.
Leave a Reply