razif khairuddin

‘Tak masuk akal, lawak, karut, memalukan’ – Razif

BEKAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menafikan dakwaan kononnya beliau sanggup melepaskan kerusi disandangnya untuk ditandingi bekas pemimpin PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir itu menyatakan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dan hantaran yang dibuat oleh sebuah akaun Facebook bersama gambar kehadirannya pada sidang media Mohd Khairuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu adalah tidak benar.

“Saya ingin menegaskan bahawa status Facebook tersebut adalah tidak benar, palsu dan merupakan fitnah berat dilemparkan kepada saya yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai ADUN Seberang Takir.

“Laporan itu juga langsung tidak masuk akal, lawak, karut dan memalukan dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Lebih menyedihkan, fitnah ini telah disebarkan pada bulan Ramadan yang mulia,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Razif berkata, gambar yang dirakam bersama Mohd Khairuddin diambil ketika beliau menghadiri majlis berbuka puasa bersama ibu tunggal Parlimen Kuala Nerus anjuran Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Majlis tersebut juga turut dihadiri Mohd Khairuddin selaku Pengerusi PAAB dan tiada sebarang kenyataan pun dikeluarkan oleh saya, apatah lagi sebagaimana yang dilaporkan oleh akaun Facebook tersebut,” katanya.

Ahmad Razif yang kesal dengan penyebaran fitnah itu berkata, keputusan menentukan calon yang layak bertanding di mana-mana kerusi pada PRU bukan berada di tangan beliau sebaliknya presiden parti.

Sehubungan itu, beliau berharap tuduhan seumpama itu dihentikan apatah lagi ketika umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan yang mulia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *