MARKAS Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) merampas 3,420 karton rokok bernilai hampir setengah juta ringgit yang cuba dibawa masuk menerusi Op Benteng Bersama, di Kampung Sri Aman, Tawau, kelmarin.
Sebelum itu sepasukan anggota Tim Quick Reaction Force (QRF) yang membuat tinjauan mengesan dua van berwarna putih yang dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan, kira-kira 9 malam.
Menurut Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad, pemeriksaan awal bagaimanapun mendapati kenderaan terbabit yang sarat dengan muatan rokok seludup dipercayai baru ditinggalkan di kawasan itu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Kita mengesyaki kedua-dua kenderaan ini digunakan bagi tujuan membawa dan mengangkut rokok seludup dari Indonesia untuk diedar dan dipasarkan di Tawau.
“Selain itu, kita juga tidak menolak kemungkinan kegiatan ini turut didalangi warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Abdul Karim berkata, selain rokok seludup, pihaknya turut menyita dua van dianggarkan bernilai RM216,000 yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.
“Semua barang rampas diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Leave a Reply