SURUHANJAYA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melaksanakan langkah lebih tegas dalam menangani isu rasuah yang semakin berleluasa dalam kalangan penjawat awam.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat gesaaan itu berkata, pendedahan beberapa kes rasuah kebelakangan ini menunjukkan Malaysia semakin rosak akibat budaya rasuah berskala besar.
“Ketika kes melibatkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) serta kes rampasan ratusan juta di Kota Kinabalu masih belum terungkai, kini muncul pula kes rasuah melibatkan lapan individu yang direman berhubung projek milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bernilai lebih RM2.3 bilion.
“Ia ternyata satu tragedi yang menimpa negara tatkala rompakan oleh pemimpin dan golongan elit mencecah puluhan bilion tanpa titik noktah dan rakyat miskin serta golongan yang terpinggir hampir pasti tidak akan mendapat pembelaan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, lapor Sinar Harian, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, lapan individu direman di dua mahkamah berasingan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek milik syarikat GLC bernilai lebih RM2.3 bilion.
Enam daripadanya menjalani prosiding permohonan tahanan reman semalam.
Mengulas lanjut Anwar berkata, kes-kes tersebut dilihat semakin rancak dan tiada ketegasan dari segi tindakan dan undang-undang oleh pihak berwajib.
Leave a Reply