SEORANG lelaki maut, manakala anaknya melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Padang Perdana, Jalan Sungai Lembing, Kuantan tengah malam tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 11.08 malam.
Sebaik menerima pangggilan katanya, seramai 24 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan Kuantan terus bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.
Ujarnya, operasi memadam kebakaran rumah teres itu menggunakan tiga jentera dan anggaran kemusnahan rumah 50 peratus.
“Kejadian ini menyebabkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan, manakala seorang kanak-kanak lelaki melecur di bahagian tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Ismail, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan dan operasi terkawal pada pukul 11.57 malam.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Kejadian kebakaran melibatkan nyawa terkorban adalah yang kedua berlaku di daerah ini semalam.
Terdahulu, seorang lelaki warga emas maut dalam kebakaran sebuah rumah di tingkat dua pangsapuri Medan Warisan, Jalan Tanah Putih, Kuantan.
Dalam kebakaran yang dilaporkan pukul 3.15 petang itu, mangsa berusia 64 tahun itu ditemui terperangkap dalam bilik tidur dengan kesan melecur di bahagian muka dan badan.
Leave a Reply