PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong penuh rancangan untuk menggubal Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti.
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, namun mahukan undang-undang itu boleh digunapakai untuk jangka masa panjang.
Senator Dewan Negara itu berkata, bahawa wakil rakyat daripada parti itu juga setuju menyokong rancangan kerajaan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, Isnin ini.
Pindaan itu bagi memudahkan penggubalan RUU untuk menghalang ahli parlimen daripada bertukar parti, lapor Malaysiakini.
“Kita menyokong sepenuhnya RUU antilompat dan serahkan kepada Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin tambah baik supaya RUU tersebut boleh digunakan untuk jangka masa panjang dengan tidak mudah diubah.
“Maksudnya lengkap dan tiada pindaan dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya dua penggal ke atas untuk ditambahnilai,” katanya.
Tambahnya, antara perkara yang perlu diperhalusi ialah definisi ‘lompat parti’ dalam undang-undang baru itu.
Media baru-baru ini melaporkan ahli-ahli Parlimen Bersatu menjadi penghalang kepada rancangan kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang antilompat parti Isnin ini.
Sebaliknya sidang khas parlimen yang dijadualkan Isnin ini akan menyaksikan pembentangan pindaan perlembagaan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tarikh baru pembentangan undang-undang antilompat parti akan diputuskan oleh perdana menteri.
Razali bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa pemimpin Bersatu menentang rang undang-undang itu.
Ditanya mengenai pendirian Bersatu mengenai pindaan perlembagaan Isnin ini, Razali berkata, parti itu tidak mengeluarkan sebarang arahan khusus tetapi semua ahli parlimen parti itu menyokong cadangan tersebut.
“Tiada arahan khusus tapi kita sebulat suara menyokong. Parti lain saya tak tahulah,” katanya.
Janji untuk melakukan transformasi merupakan salah satu perkara yang terkandung dalam memoradum persefahaman (MOU) yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada tahun lalu.
Antara perkara yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak ialah penggubalan undang-undang bagi menghalang wakil rakyat daripada melompat parti.
Bagaimanapun, selepas ditangguhkan sehingga 11 April, pembentangan RUU itu sekali lagi menemui halangan apabila Kabinet dilapor membuat keputusan untuk menangguhkannya.
Leave a Reply