MENTERI Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah hari ini mengesahkan 16 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Kemboja kini berada di balai polis di Phnom Penh untuk siasatan.
Tanpa menjelas lanjut mengenai jantina, usia, asal, bila atau punca ditahan, Saifuddin berkata, kesemua rakyat Malaysia itu kini berada dalam keadaan baik.
“Pegawai kita di sana sudah ke pejabat polis untuk bertemu mereka. Kita sentiasa ikuti rapat perkembangan terkini dan akan membantu mereka, jika perlu dicarikan peguam atau bantuan lain,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-42 Persatuan Hindu Sanggam Kuantan, di Kuantan, hari ini.
Ditanya sama ada 16 rakyat itu, adalah sebahagian mangsa penipuan tawaran kerja yang diterima oleh Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA seperti pada sidang media Rabu lalu, Saifuddin berkata, perkara itu masih belum dapat dipastikan.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan rakyat Malaysia untuk berhati-hati apabila menerima tawaran kerja dari negara asing dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran gaji besar, sebaliknya membuat semakan dengan Kementerian Luar atau pejabat perwakilan Malaysia atau Malawakil negara terbabit.
“Semak juga visa kerja dan pasport supaya memenuhi peraturan diwajibkan…dan jika dirasakan ada kemusykilan bila tiba ke negara terlibat, kita mohon segera hubungi Malawakil. Ini sangat penting untuk mengelakkan timbul masalah kemudian hari,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin juga meminta rakyat Malaysia yang berdepan masalah atau terkandas di Thailand ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, untuk segera ke pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
“Kita tidak menafikan mungkin masih ada sejumlah lain yang masih tidak berhubung dengan pejabat Konsulat Jeneral, dan kita harap mereka dapat segera berbuat demikian supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan untuk membolehkan mereka pulang,” katanya.
Saifuddin juga sekali lagi menafikan dakwaan terdapat 10,000 rakyat Malaysia menjadi pendatang asing tanpa izin di negara itu kerana setakat ini rekod Konsulat Jeneral menyatakan 2,439 warga Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke tanah air, telah dibantu.
Rekod juga menyatakan sehingga kini, hanya terdapat 72 warganegara Malaysia yang berdaftar dengan pihak Konsulat Jeneral dan memegang Pas Sempadan dan bilangan itu adalah sebahagian daripada 444 warganegara Malaysia yang telah mendaftarkan diri dengan pihak Konsulat Jeneral. – Bernama
Leave a Reply