prestasi bersatu

Prestasi Bersatu lebih baik dari parti lain, tak perlu tukar Presiden

BERSATU menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, prestasi partinya itu dapat dilihat pada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, Bersatu tidak dalam keadaan terdesak dan tidak memerlukan Presiden baharu untuk memimpinnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“PAS masih teguh dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan kami mempunyai hubungan rapat dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya seperti dilaporkan FMT.

Baru-baru ini, penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, prospek Bersatu dan PN suram, terutamanya berikutan kegagalan percubaannya untuk menjalin kerjasama dengan Pejuang dan PH.

Azmi berpendapat, individu lain harus mengambil alih kepimpinan Bersatu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun menurut Faiz, parti itu yakin terhadap kepimpinan Muhyiddin dan tiada perbincangan diadakan untuk menggantikannya sebagai presiden parti.

BN memenangi 40 kerusi pada PRN Johor, diikuti DAP dengan 10 kerusi dan PN dengan tiga kerusi. PKR, Amanah dan Muda masing-masing memperoleh satu kerusi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, BN memperoleh 43.11 peratus daripada undi popular, manakala PN 24.04 peratus.

Sementara itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Ahmad Kamal berkata, usaha partinya untuk menjalin kerjasama dengan parti lain bukanlah tindakan terdesak, sebaliknya merupakan strategi bagi menjamin kemenangan.

“Selain berkhidmat kepada rakyat pada setiap masa, politik adalah mengenai memikirkan kaedah terbaik untuk menang dan membentuk kerajaan,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, Bersatu menerima permintaan daripada parti-parti lain untuk membincangkan hala tuju pada PRU-15.

“Mereka meminta bertemu dengan Muhyiddin selepas melihat dan mengalami prestasi buruk pada pilihan raya baru-baru ini. Mungkin mereka sedar bahawa pertembungan banyak penjuru akan membolehkan golongan kleptokrat kembali berkuasa dan mereka mahu menghalangnya.”

Beliau berkata, ini bukan masanya untuk menggantikan Muhyiddin.

“Kita ada ramai pemimpin berkebolehan yang bersedia untuk menggantikan Muhyiddin apabila tiba masanya, tetapi sekarang ini kita fokus kepada usaha menyatukan parti untuk PRU-15.”

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti itu telah memberikan kepada biro politiknya yang diketuai Muhyiddin mandat penuh untuk membincangkan kerjasama dengan parti lain menjelang PRU-15.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *