Oleh RAHIMI MOHAMAD
EMPAT pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan polis selain merampas selaras senapang angin buatan sendiri serta tiga bungkus peluru dan tiga bilah sabit di kawasan tepi Sungai Kampung Bakar Batu, tengah malam tadi.
Menurut Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah, keempat-empat suspek lelaki yang ditahan itu berusia antara 35 hingga 50 tahun.
Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun yang bertindak selaku transporter kepada keempat-empat suspek turut dicekup dalam serbuan berkenaan.
“Kesemua mereka ditahan ketika anggota polis membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang berada dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.15 tengah malam.
“Sejurus ditahan, keempat-empat suspek telah gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Muhd. Zailani, soal siasat terhadap kesemua suspek yang berasal dari Surabaya, Indonesia itu memaklumkan senapang angin berkenaan digunakan untuk tujuan memburu.
Katanya, keempat-empat mereka dan kesemya barangan rampasan kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan selanjutnya.
“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM); Akta Senjata Api 1960; Akta Bahan Letupan dan Kakisan dan Senjata Berbahaya serta Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Muhd. Zailani turut meminta kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah termasuk penyeludupan kepada PPM wilayah itu di talian 07-2372221 atau 07-2372222.
Leave a Reply