PAS menegaskan akan menyokong pindaan Perlembagaan dan Akta Anti Lompat Parti, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hasaan dalam satu kenyataan malam ini.
Berikut kenyataan penuh beliau;
Pas akan memberikan sepenuh sokongan kepada Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dalam Sidang Khas Parlimen pada Isnin yang bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 10(3) yang berkaitan dengan Perkara 10(1)(c), iaitu berhubung dengan kebebasan berpersatuan (freedom of association).
Dalam satu kenyataan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Perkara 10(1)(c) adalah seperti berikut:
10. (1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—
(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.
Perkara 10(3) adalah seperti berikut:
(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.
Berdasarkan kes Dewan Undangan Negeri Kelantan -lawan- Nordin Salleh & Anor., yang diputuskan oleh Mahkamah Agung Malaysia pada 3 April 1992, sesuatu peruntukan Undang-undang ataupun Perlembagaan Negeri berkaitan Sekatan Lompat Parti akan dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan selagi Perkara 10 tidak dipinda bagi membolehkan suatu Akta Lompat Parti digubal dan diluluskan oleh Parlimen.
Maka atas dasar inilah, Jemaah Menteri yang bersidang pada 6 April 2022 memutuskan Sidang Khas Parlimen pada 11 April 2022 perlu bersidang untuk meminda Perkara 10 bagi membolehkan suatu Akta berkaitan Lompat Parti dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen dalam suatu sidang yang lain.
Jemaah Menteri juga secara sebulat suara bersetuju bahawa perkara-perkara berkaitan dengan Lompat Parti dan implikasinya dari segi undang-undang perlu dimasukkan secara lengkap dan terperinci di dalam suatu Akta Parlimen yang khusus.
Akta Parlimen tersebut perlu merangkumi definisi-definisi yang tepat, misalan-misalan yang terang dan penjelasan yang konkrit bagi mengelakkan kekeliruan (lacuna), penyalahgunaan kuasa (abuse of power) dan kemungkinan berat sebelah (likelihood of biasness) yang turut menyebabkan pihak-pihak yang terkesan mencabarnya di mahkamah.
Leave a Reply