KAWASAN pencarian seorang nelayan (juragan) yang hilang selepas bot dinaikinya karam di perairan Pulau Kapas pada Rabu lalu diperluaskan sehingga 96.6 batu nautika pada hari ini.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ismail, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang memasuki hari kedua itu meliputi kawasan Pulau Kapas, perairan Dungun hingga ke Paka.
Beliau berkata, operasi tersebut melibatkan 46 anggota Maritim Malaysia menerusi Kapal Maritim (KM) Redang dan Pesawat Udara Bombardier CL415, aset pesawat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) AW 139 dan bot PTL 26 milik Jabatan Perikanan serta bot nelayan tempatan.
Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi, ramalan cuaca perairan pada Jumaat tidak menentu dengan hujan dijangka berlaku hingga malam di beberapa kawasan.
“Angin pula bertiup dengan kelajuan 10 ke 20 kilometer (km) sejam dengan ketinggian gelombang antara 0.5 meter hingga 1 meter,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini hari ini, lapor Sinar Harian.
Sebelum.ini media melaporkan seorang nelayan, iaitu juragan hilang manakala dua yang lain (awak-awak) terselamat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Kapas dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari Rabu lalu.
Mangsa yang hilang merupakan tekong (juragan) bot, Wan Mustapha Ayob, 62.
Bot nelayan tempatan kelas B dengan nombor pendaftaran TRF 1027 itu dilaporkan karam pada kedudukan lapan batu nautika dari Pulau Kapas.
Leave a Reply