POLIS berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di Terengganu susulan kematian dua suspek dalam kejadian tembak- menembak di Kampung Wakaf Beruas, Kuala Terengganu, Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, dua penjenayah terbabit dikenali sebagai Pendi Buaya berusia 25 tahun berasal dari Kuala Terengganu manakala seorang lagi digelar Nuar Taman, 29, dari Marang.
Selain itu katanya, polis turut merampas dua pucuk pistol, peluru, 20 peket dadah jenis syabu seberat lebih 1,000 gram (g) dan 14 botol kecil heroin seberat lebih 67 gram di dalam kereta suspek.
Beliau berkata, kedua-dua suspek mempunyai 11 dan lapan rekod jenayah lampau serta aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah di sebahagian besar Terengganu iaitu Marang, Hulu Terengganu, Besut dan kawasan felda sejak 10 tahun lalu.
“Suspek turut menjalankan kegiatan pengedaran dadah di beberapa negeri lain antaranya Selangor,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Terengganu dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Kontinjen Terengganu hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Rohaimi, kedua-dua penjenayah terbabit merupakan suspek utama bagi kes tembak seorang lelaki di Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu pada 5 Mac lalu.
Katanya, hasil siasatan mendapati punca kematian lelaki berkenaan juga berkaitan urusan dadah.
Selasa lalu, dua penjenayah ditembak mati dalam kejadian tembak-menembak dengan pihak polis yang berlaku pada pukul 11.30 pagi.
Kejadian itu berlaku ketika pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu dan Bukit Aman melakukan rondaan Op Kesan sebelum terserempak dengan sebuah kereta Honda Civic yang memandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Wakaf Beruas, Kuala Terengganu.
Leave a Reply