SATU rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan pihak polis di Jalan Bukit Zamrud, Seremban, pada pukul 11 pagi tadi.
Polis menemukan tengkorak, geraham dan cebisan rangka dalam keadaan bertaburan di tanah serta dilitupi daun kering kira-kira 10 meter dari lokasi asal pencarian kes seorang budak hilang yang dilakukan sejak 28 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ekoran penemuan rangka manusia itu, pihaknya mengklasifikasikan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu membunuh.
“Penemuan rangka ini berhubung kes kanak-kanak hilang dan kami sudah mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 KK. Polis menemui tengkorak, geraham dan cebisan tulang di lokasi ini.
“Kami percaya tulang ini adalah milik mangsa, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun. Bagaimanapun tulang ini akan dihantar ke forensik dan patologi bagi mengesahkan sama ada ia milik manusia atau haiwan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Media pada 28 Mac melaporkan polis membawa seorang wanita yang dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus ke satu kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud, Temiang, Seremban.
Polis bagaimanapun enggan mendedahkan tujuan pencarian berkenaan, namun mengesahkan kedua-dua berkenaan mempunyai kaitan.
Ditanya mengenai kaitan kes ini dengan penemuan mayat wanita tanpa identiti di gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus, Seremban, 20 Mac lalu, Nanda berkata, suspek bagi kedua-dua kejadian dipercayai individu yang sama.
“Wanita yang ditemui di Jalan Lama Bukit Putus dan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ini tidak mempunyai kaitan.
“Sebenarnya pencarian ini dilakukan sejak 28 Mac lalu sehingga ke hari ini. Kami mendesak suspek utama dan saksi supaya memberitahu lokasi sebenar mangsa dibuang atau ditanam.
“Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati anggaran kematian antara dua ke tiga bulan lalu. Rangka ditemui ini akan diuji oleh pihak forensik dan patologi sebelum laporannya akan dihantar ke pihak pendakwa raya untuk pertuduhan.
“Saya percaya siasatan bagi kedua-dua kes ini sudah hampir selesai. Motif kejadian akan diketahui sebaik siasatan selesai dalam masa terdekat,” katanya.
Media pada 21 Mac lalu melaporkan seorang lelaki yang mahu merakam gambar ketika berjoging di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus, terkejut selepas menemui satu mayat wanita di kawasan gaung.
Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita pada 22 Mac di dua lokasi di daerah ini.
Leave a Reply