SEORANG anggota polis wanita berpangkat Lans Koperal ditahan dalam operasi maksiat yang turut membongkar penemuan mercun dan bunga api bernilai RM5,000 serta air ketum di sebuah rumah di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Penahanan dibuat ketika serbuan dilakukan pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu bersama penguat kuasa dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) pada pukul 5.47 pagi.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, kesemua suspek yang ditahan berusia 20-an hingga 30-an.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah ada dua lelaki dan tiga perempuan termasuk seorang anggota polis wanita berusia 30 tahun.
“Pemeriksaan lanjut menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api iaitu kotak happy boom (23), pek magic shoot (20), kotak crackers ball (lima), bungkus mercun bola (18) dan kotak mercun pelbagai jenis (50) yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM5,000,” katanya lapor Sinar Harian.
Menurut Mohd Suhaimi, lokasi serbuan adalah rumah didiami oleh anggota polis wanita tersebut dan kesemua barangan dirampas di rumah itu.
Ujarnya, turut dirampas sebungkus plastik mengandungi cecair dipercayai air ketum di dalam peti sejuk di rumah berkenaan.
“Hasil soal siasat awal, kawan lelaki anggota polis itu mengaku bahawa mercun dan bunga api yang dirampas dibeli di Rantau Panjang, Kelantan untuk pasaran runcit dan disimpan sementara di rumah anggota polis itu bersama air ketum ” katanya.
Beliau berkata,kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Katanya, siasatan turut dilakukan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan oleh pihak Jaheaik.
“Anggota berkenaan ditahan reman selama dua hari manakala mereka yang lain sehari bagi membantu siasatan,” jelas beliau.
Leave a Reply