PGA tahan empat PATI warga Thailand

HASRAT empat wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Thailand yang cuba pulang ke negara asal tidak kesampaian apabila ditahan pihak berkuasa di sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah, semalam.

Anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dan PGA8 yang sedang bertugas mengesan pergerakan mereka pukul 9.14 pagi sebelum menahan semua suspek dalam sebuah Proton Exora kerana sebelum itu dilihat keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota membuat pemeriksaan ke atas pemandu yang juga lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang membawa empat wanita dipercayai PATI warga Thailand berusia 29 sehingga 38 tahun.

“Pemeriksaan lanjut pada penumpang mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai cuba masuk ke negara asal melalui pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.

“Hasil siasatan, kesemua PATI itu dibawa dari Pulau Pinang dan Selangor. Mereka membayar wang yang agak tinggi kepada pemandu yang juga bertindak sebagai ‘transporter’.

“Lelaki serta empat Pati berkenaan ditahan manakala kereta dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanah Merah bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Azhari berkata, turut dirampas ialah enam telefon bimbit serta wang tunai bernilai RM4,643.

“Kesemua suspek turut menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan anggota serta pegawai.

“PGA terus mengetatkan kawalan di sempadan melalui Op Wawasan Kelantan terutama bagi mengekang kemasukan Pati melalui jalan sungai di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *