PGA rampas mercun, bunga api bernilai RM254,616

KEGIATAN penyeludupan mercun dan bunga api semakin berleluasa di mana semalam pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan seorang lelaki dan merampas mercun serta bunga api yang bernilai RM254,616 di Kampung Cabang 3, Bukit Kechil, Gunong, Bachok, Kelantan.

Rampsan dibuat melalui serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Batalion 7 PGA pada pukul 12.30 tengah hari.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azahari Nusi, suspek lelaki berusia 33 tahun tersebut mengaku sebagai penyewa premis perniagaan yang diserbu itu.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat penyeludupan mercun, pasukan PGA membuat pemerhatian terhadap premis perniagaan yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan mercun di lokasi berkenaan.

Katanya, ketika pemerhatian dijalankan, PGA berjaya menahan seorang lelaki warganegara Malaysia yang mengaku sebagai penyewa premis tersebut.

“Pemeriksaan lanjut di dalam premis terbabit, kita menjumpai 81 kotak dan 21 guni berisi pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM254,616,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Azahari berkata, siasatan awal PGA mendapati mercun berkenaan akan dipasarkan ke Johor dengan proses penghantaran menggunakan lori.

Ujarnya, mercun itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran Thailand melalui pangkalan haram dan diangkut dalam kuantiti yang kecil dengan menggunakan kereta bagi memudahkan pergerakan serta mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Bachok untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” jelas beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *