Penyelam hilang: Tekong bot positif dadah

TEKONG bot yang membawa empat penyelam warga asing yang dilaporkan hilang ketika selaman di Pulau Tokong Sanggol disahkan positif dadah.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia lingkungan 20 tahun itu pada mulanya dipanggil untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, ujian air kencing menunjukkan individu itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Kami sudah buat ujian saringan air kencing dan didapati dia positif dadah. Dia akan ditahan sehingga siasatan selesai,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di Mersing, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, individu itu yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Mersing, kira-kira pukul 11.30 malam tadi, disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya.

Ketika ditanya sama ada terdapat unsur kecuaian dalam kes kehilangan penyelam warga asing itu, Kamarul Zaman berkata, pihaknya kini sedang meneliti semua aspek.

“Kami akan menyiasat dari segi kelengkapan peralatan menyelam mereka dan juga tempat pusat selam skuba dan sebagainya. Kami akan siasat dan pasukan forensik akan sampai untuk membuat siasatan. Kalau ada sesuatu yang berlaku, kalau ada salah laku dan sebagainya pun, kami akan buat siasatan juga,” kata Kamarul Zaman.

Turut hadir, Ketua Staf Am 21 Gerup Gerak Khas Kem Iskandar Mersing Adi Ridzwan Abdullah dan Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum itu meninjau PHC bagi mengetahui status situasi terkini Op Carilamat empat penyelam warga asing itu.

Pada operasi itu, seramai 90 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi termasuk 30 penyelam berserta 18 bot dan dua helikopter telah digerakkan.

Pencarian yang masuk hari kedua, meliputi kawasan seluas 107 batu nautika radius.

Pada kejadian tengah hari semalam, mangsa terdiri daripada Kristine Grodem, 35, yang merupakan jurulatih selam warganegara Norway; Alexia Alexandra, 18, (Perancis); Adrian Peter, 46, (British) dan anaknya, Nathen Renze, 14, (Belanda) didapati hilang ketika membuat latihan selaman di pulau berkenaan, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, Mersing. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *