Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
DUA anggota polis berdepan detik cemas apabila kereta peronda MPV dipandu hilang kawalan dan terbalik semasa mengiringi Menteri Besar Johor di Kilometer 76 Jalan Johor Bahru-Mersing, berhampiran Kota Tinggi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kemalangan tersebut berlaku pada pukul 9.50 pagi melibatkan pemandu yang berusia 32 tahun dan penumpang pula berusia 42 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu dalam perjalanan dari arah Mersing ke Johor Bahru sebelum gagal mengawal kenderaan ketika melalui selekoh licin serta basah kerana hujan.
“MPV polis tersebut kemudian terbabas ke kiri jalan lalu terbalik. Kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkuan Jalan (APJ) iaitu memandu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Jika sabit kesalahan katanya, boleh didenda minimum RM4,000 dan tidak lebih RM10,000 serta boleh dipenjara tidak lebih setahun.
Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama.
Leave a Reply