MINAT mendalam terhadap seni bina kayu mendorong Mohd Arpi Arifin, 45, mendirikan sebuah masjid di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, di Tumpat yang mengangkat keindahan serta keunikan seni bina Istana Balai Besar dan rumah Melayu Kelantan.

Pengalaman berkhidmat di Istana Balai Besar selama lima tahun telah memberi inspirasi kepada beliau untuk membina masjid kayu bercirikan seni bina asli negeri Cik Siti Wan Kembang untuk kegunaan masyarakat setempat.

“Masjid sangat penting dalam kehidupan umat Islam, selain sebagai tempat beribadah ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk.

“Jadi saya berharap dengan adanya Masjid Iktikaf Ibadul Rahman ini, ukhuwah penduduk setempat semakin kukuh dan pada masa sama dapat mengekalkan seni bina Melayu yang menjadi warisan kita,” katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Iktikaf Ibadul Rahman di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, bapa kepada lima orang anak berusia 17 hingga empat tahun itu berkata pemilihan nama masjid itu adalah melalui al-Quran dalam Surah  Al-Furqan ayat 63 hingga 74 iaitu ‘Ibad’ bererti hamba dan ‘Ar-Rahman’ bermaksud Allah Maha Penyayang.

“Saya harap segala aktiviti di masjid ini mencerminkan pembinaan peribadi jiwa yang halus dan penyayang seiring dengan namanya, sekali gus dapat memberi kesan positif kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Mengenai pembinaan masjid tersebut, Mohd Arpi berkata beliau telah mendapatkan khidmat seorang tukang kayu tempatan untuk merealisasikan pembinaan masjid impiannya yang berjaya disiapkan dalam tempoh dua tahun.

Masjid itu dibina menggunakan 80 peratus kayu jenis seraya kitam dan seraya merah, manakala 20 peratus lagi kayu cengal dan merbau yang diperoleh daripada pembekal di Kelantan dan Terengganu.

Katanya pemilihan kayu sangat penting dan hanya kayu yang matang sahaja dikeringkan secara semula jadi untuk memastikan kualiti masjid yang dibina terjamin dan dapat kekal lama.

“Saya kumpul semua kayu ini sejak 2018. Alhamdulillah ia hanya mengambil masa dua tahun untuk siap sepenuhnya,” katanya, menambah masjid itu mula beroperasi pada awal tahun ini.

Mohd Arpi berkata antara nilai estetika seni bina dan ukiran kayu Melayu Kelantan yang dikekalkan menerusi pembinaan masjid bertiang tinggi itu adalah seperti pemeleh, tebar layar, ekor itik, tunjuk langit dan dinding janda berhias.

“Nilai-nilai estetika ini menjadi karakter kuat dalam seni bina rumah tradisional di Kelantan yang dapat dilihat di rumah-rumah lama seperti sisip angin bagi memudahkan pengudaraan dan hiasan pada bumbung terutamanya ekor itik.

“Tidak mudah untuk menghasilkan seni bina tradisional ini dan hanya tukang tertentu sahaja yang mempunyai kepakaran menghasilkannya,” katanya yang membiayai sebahagian besar pembinaan masjid itu selain sumbangan individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri.

Menurut Mohd Arpi masjid yang berkeluasan lebih 304 meter persegi itu, boleh memuatkan kira-kira 80 jemaah pada satu-satu masa dan dibahagikan kepada ruang solat termasuk untuk jemaah lelaki serta wanita, manakala bahagian beranda dijadikan tempat untuk mengadakan majlis atau jamuan.

Sementara itu, seorang pengunjung yang ditemui, Noor Sofea Qistina Abdul Rahman, 31, berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang mengunjungi masjid berkenaan selepas melihat ia tular di media sosial.

Katanya, pembinaan masjid berkenaan sangat unik dengan kehalusan seni ukiran kayu, sekali gus dapat memelihara seni bina tradisional negeri Kelantan untuk tatapan generasi akan datang memandangkan ia semakin pupus ditelan zaman.

“Ketika berada di masjid ini, seakan memberi satu perasaan seperti berada di sebuah rumah kampung pada zaman dahulu kala. Sangat selesa dan memberi ketenangan untuk beribadah,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here