Identiti empat penyelam warga Eropah yang hilang dikenal pasti

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

EMPAT empat penyelam warga Eropah yang hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing tengah hari semalam, sudah pun dikenal pasti.

Mangsa terdiri daripada dua lelaki yang juga anak beranak iaitu warga Britain, Adrian Peter, 46, dan Nathan Renze, 14, merupakan warga Belanda.

Sementara dua lagi mangsa dikenal pasti sebagai wanita warga Perancis, Alexia Alexandra, 18 dan jurulatih penyelam ‘Dive Master’ dari Norway, Kristine Grodem, 35.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesemua penyelam mempunyai lesen menyelam dan berpengalaman.

“Kita berduka cita kerana ada empat individu yang kita sedang cari di kepulauan Mersing terutama di Kepulauan Sanggol. Mereka semua adalah pelancong dan salah seorang jurulatih.

“Mereka ini adalah pelajar tetapi mereka ini bukan pertama kali menyelam. Mereka semua berpengalaman dalam selaman dan sedang dalam menaik taraf sijil kelayakan menyelam (‘upgrading certification’). Hubungan kedua lelaki itu adalah bapa dan anak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau operasi carilamat di Pengkalan hadapan carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, Mersing pada pagi ini.

Onn Hafiz (tengah) diberi taklimat berkenaan operasi mencari dan menyelamat empat penyelam warga Eropah yang hilang dan masih belum ditemukan

Sementara itu menerusi Facebook miliknya, Onn Hafiz memberitahu, Ops Carilamat yang bersambung pada pukul 7 pagi tadi membabitkan seramai 90 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk 30 penyelam dan 18 aset.

Menteri Besar itu turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar di atas kurniaan baginda meminjamkan dua bot milik baginda untuk Op Carilamat.

Semalam dilaporkan empat penyelam warga asing dipercayai hilang semasa melakukan aktiviti latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol.

Untuk rekod, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2.35 petang sebelum operasi mengesan mangsa dilancarkan.

“Pihak kerajaan dan Agensi sedang berusaha sedaya upaya untuk mencari mereka. Saya berharap dan berdoa agar ahli keluarga terus tabah dan bersabar pada ketika ini.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan mencari dan menyelamat ini,” katanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *