KETUA Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menyangkal dakwaan parti itu menolak Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Katanya, Bersatu sentiasa komited memastikan reformasi institusi berjalan dengan baik dengan menghantar wakil ke sesi konsultasi mengenai Akta Anti Lompat Parti dan Akta Mengehadkan Tempoh Khidmat Perdana Menteri.
“Laporan Utusan Malaysia ini langsung tidak melambangkan semangat perbincangan dalam mesyuarat MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) pada 5 April lalu. Dalam setiap sesi, kami menyuarakan pandangan secara konstruktif untuk memastikan kerajaan dapat menghasilkan draf yang terbaik untuk negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Saiful berkata, Ahli MPT, Datuk Mas Ermieyati Samsudin adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), yang memainkan peranan penting dalam proses penyediaan draf akta berkenaan.
‘’Tidak pernah ada penolakan kolektif seperti didakwa. Saya tidak tahu sumber mana yang dipetik dan apa niat di sebalik ulasan tersebut,” katanya.
Wan Saiful memaklumkan parti itu kan membuat kenyataan rasmi apabila mendapat salinan draf Akta Anti Lompat tersebut.
Leave a Reply