Maut selepas tidak sampai sebulan konvokesyen

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG pekerja Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 54.5 Jalan Johor Bahru-Pontian, Pontian, semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, kemalangan berlaku pada pukul 5.30 petang semasa mangsa, Muhammad Rafi Abdullah Thani, 23, yang beralamat di Taman Jasa, Pontian datang dari arah Benut ke Parit Jerman.

“Sementara lori berkenaan pula datang dari arah Pekan Nanas menghala ke Pontian. Hasil siasatan awal mendapati apabila lori sampai di tempat kejadian dipercayai ingin membelok ke kanan untuk meletakkan kenderaan disebelah kanan jalan.

“Kemudian datang motosikal mangsa dari arah belakang telah melanggar bahagian sebelah kanan lori tersebut. Akibat kemalangan itu mangsa cedera parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian dan dihantar ke Hospital Pontian untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan, 21, yang beralamat di Kampung Parit Selangor, Benut, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan berlaku semasa mangsa datang dari arah Benut ke Parit Jerman sebelum melanggar lori berkenaan

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Hasnan Abd Rahman berkata, mangsa yang berketurunan Melayu menunggang motosikal jenis Yamaha Y15Z itu cedera parah dan maut.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 5.58 petang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Abdullah Thani Bachok, 57, tidak menyangka wajah anak sulungnya yang putih berseri-seri selain kurang bercakap merupakan petanda ajal sebelum terlibat kemalangan tersebut.

“Wajahnya kelihatan putih berseri-seri dan kurang bercakap berlaku dua hari sebelum kemalangan. Kali terakhir saya melihatnya pagi semalam, seperti biasa dia mencium tangan saya sebelum pergi kerja.

“Dia bekerja di PTP dan tidak sampai sebulan menghadiri majlis konvokesyen di Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang yang berlangsung pada 16 hingga 22 Mac lalu,” katanya ketika dihubungi.

Abdullah Thani berkata, Muhammad Rafi yang merupakan anak sulung daripada enam beradik sebelum ini melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuteraan Mekanikal di politeknik berkenaan.

Dia reda dengan kejadian yang menimpa Muhammad Rafi serta menyifatkan ujian amat berat dihadapi keluarganya dalam Ramadan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *