Oleh MIKAIL FIRDAUS
NAMPAKNYA idea penyatuan antara PN dengan parti pembangkang walaupun diakui banyak pihak sebagai jawapan terbaik untuk mengalahkan BN pada PRU-15 akan datang, masih terlalu berliku dan hanya boleh menjadi kenyataan jika kesemua pemimpin pembangkang membuang dan mengetepikan ego politik masing-masing.
Jika dilihat pendirian Dr. Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng yang keras menolak idea yang sedang dirintis Muhyiddin Yassin itu, ramai pesimistik tetapi tidak semua pemimpin dalam PH dan parti pembangkang berpemikiran seperti Dr. Mahathir dan Guan Eng. Ramai lagi pemimpin PH dan pembangkang yang realistik.
Dr. Mahathir memang sudah menjadi pengetahuan umum egonya tinggi melangit – merasakan hanya dia sorang sahaja yang boleh memimpin negara walaupun PRN Johor sudah membuktikan segala-galanya iaitu beliau dan parti Pejuang ditolak rakyat. Guan Eng juga serupa – walaupun sedar tanpa penyatuan pembangkang, BN akan menang selesa.
Sebenarnya, dalam memperkatakan soal menyatukan PN dan parti-parti pembangkang di bawah satu khemah besar ini, para pemimpin yang kononnya merasakan diri mereka hebat sepatutnya belajar dengan kematangan politik Indonesia.
Lihatlah bagaimana kematangan politik di negara seberang itu telah memacu Indonesia jauh meninggalkan Malaysia. Suatu ketika dahulu, kita mungkin mentertawakan Indonesia, tetapi ternyata kini mereka jauh lebih matang dan sudah membuktikannya melalui kebijaksanaan serta keberanian politik.
Jokowi bukan seperti Dr. Mahathir dan Guan Eng. Presiden Indonesia itu jauh lebih berjiwa besar apabila sanggup bersekutu dengan musuh politiknya, Prabowo demi kepentingan Indonesia. Hasilnya sekarang pentadbiran serta politik Indonesia lancar, ekonominya maju dan paling penting rakyat merasa terbela.
Soalnya, kalau Jokowi dan Indonesia boleh mengetepikan segala titik bengit peribadi demi kepentingan lebih besar, mengapa pemimpin seperti Mahathir yang digelar negarawan tidak boleh memperlihatkan sikap negarawan dalam soal penyatuan? Mengapa Guan Eng lebih mengutamakan soal sentimental peribadi berbanding suara majoriti?
Dalam hal ini, BERSATU yang bermesyuarat malam tadi telah membuat keputusan tepat apabila sebulat suara memberi mandat penuh kepada Muhyiddin untuk menjayakan pelan penyatuan dengan parti-parti lain. Terpulanglah kepada kebijaksanaan Muhyiddin selepas ini kerana kunci sudah diberikan kepada beliau.
Suka atau tidak – walaupun jalannya penuh berliku, penyatuan PN dan parti pembangkang perlu dijayakan, sama ada di bawah satu gagasan atau pun melalui kerjasama strategik.
Jika Pejuang dan DAP berkeras, lupakanlah dahulu kedua-dua parti ini, fokus dahulu penyatuan dengan parti-parti yang lebih realistik dan mempunyai kematangan politik.
Lagi pun Pejuang bukannya ada akar umbi dan hanya bergantung sepenuhnya kepada batang tubuh Dr.Mahathir. DAP pula biarlah mereka kekal dengan ego Guan Eng kerana jika tersilap percaturan, tidak mustahil Pulau Pinang boleh terlepas daripada tangan DAP.
Sekali lagi belajarlah daripada Indonesia untuk membentuk khemah besar ini – ia tidak mudah tetapi boleh dijayakan kerana arena politik ini sarat dengan nilai optimistik, cuma perlukan keikhlasan dalam kalangan pemimpin.
*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
Leave a Reply