Kenapa Zahid bimbang dengan pengaruh Muhyiddin?

Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

Nampak ketara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bimbang dengan pengaruh Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Presiden Bersatu itu mahu menggerakkan kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Zahid dalam kenyataannya mendakwa Muhyiddin mahu menjadi Perdana Menteri semula atas kepentingan peribadi sedangkan majoriti rakyat faham bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu secara jelas tidak mahu BN kembali berkuasa dengan dipengaruhi oleh kleptokrat dan kluster mahkamah.

Di sebalik tuduhan terhadap Muhyiddin, semua orang tahu prinsip beliau yang tegas dalam soal berkaitan amanah dan integriti apabila sanggup kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana menyuarakan kepincangan dalam 1MDB.

Kini telah terbukti, masalah besar yang pernah disuarakan Muhyiddin benar-benar berlaku hinggakan 1MDB kini dibicarakan di mahkamah Malaysia, mahkamah di luar negara dan masih diperkatakan seantero dunia sebagai skandal rompakan terbesar dalam sejarah.

Dari kaca mata rakyat marhaen, jika Muhyiddin seorang yang mengutamakan kepentingan peribadi, sudah pasti beliau akan menggunakan pelbagai cara untuk mengekalkan jawatan sebagai PM kelapan.

Sebaliknya ia tidak berlaku dan beliau sanggup menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Naib Presiden UMNO untuk menjadi PM kesembilan semata-mata kerana tidak mahu krisis politik berlarutan hingga mendatangkan mudarat kepada negara yang masih berdepan pandemik Covid-19.

Ketika menjadi PM juga, beliau dilihat sebagai pemimpin yang lebih banyak membicarakan permasalahan negara contohnya Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat diwujudkan dengan wang berbilion-bilion ringgit disalurkan untuk kepentingan bersama.

Dalam keadaan tidak mendapat sokongan ahli Parlimen yang kukuh, ditambah dengan dugaan Covid-19 yang besar beliau masih lagi boleh mentadbir dengan baik walaupun sesetengah keputusan itu tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

Malah, Muhyiddin juga dilihat bersih dan bebas daripada sebarang kes mahkamah yang menjadi ciri penting wajib dimiliki oleh setiap pemimpin terutamanya pemimpin Islam yang menjadi peneraju pimpinan negara.

Di samping itu, sebagai anak ulama terkenal iaitu Allahyarham Tuan Guru Mohammad Yassin Muhammad, Muhyiddin turut disenangi oleh banyak pihak yang mengimpikan satu pemerintahan yang meletakkan agama sebagai perkara paling utama dalam kehidupan.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila Zahid memberi peringatan kepada mana-mana ahli UMNO yang menaruh harapan untuk bekerjasama, mempercayai dan mempertahankan Bersatu dan Perikatan Nasional supaya menilai semula keputusan mereka.

Zahid bimbang dengan ‘track record’ ditunjukkan Muhyiddin akan menyebabkan ahli dan pemimpin UMNO beralih arah dan menyokong Bersatu untuk menjadi parti yang lebih dominan bagi membela nasib rakyat ketika ini.

Sama-sama kita berdoa dan berharap, parti-parti selain BN dapat bekerjasama dan membentuk blok yang lebih kukuh bagi menghadapi BN pada PRU15 nanti kerana jika tidak rakyat akan terpaksa melalui episod diperintah oleh mereka yang pernah ditolak rakyat sebelum ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *