Isteri anggota tentera tikam suami direman 5 hari

SEORANG isteri yang merupakan Suspek kes tikam anggota tentera di Kem Penrissen, Kota Sentosa, Kota Samarahan, malam kelmarin, direman lima hari sehingga 10 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, permohonan reman dikemukakan kepada Penolong Pendaftar Sataia Kombi di Mahkamah Kota Samarahan pada jam 9 pagi.

“Mahkamah membenarkan permohonan itu untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang anggota tentera maut selepas kehilangan banyak darah akibat kecederaan di paha kiri dipercayai ditikam oleh isterinya.

Kejadian itu berpunca daripada tindakan isterinya menggertak mangsa menggunakan pisau pemotong sayur sehingga tertikam pada anggota badan mangsa.

Susulan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Difahamkan pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun yang kini dijaga keluarga suspek.

Sudirman berkata, ketika kejadian suspek berada dalam keadaan normal.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *