Bayi 5 bulan maut, empat parah dalam kemalangan

SEORANG bayi perempuan berusia lima bulan maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 51 Jalan Sungai Lerek, Setiu, semalam.

Mangsa, Nur Al Ammara Mohamad Budiman berusia lima bulan dari Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan disahkan meninggal dunia di Hospital Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, selain itu, empat termasuk ibu dan kakaknya parah dalam kemalangan itu.

Katanya, polis menerima panggilan pukul 9.55 malam tadi memaklumkan seorang mangsa kemalangan meninggal dunia di hospital.

“Hasil siasatan mendapati, kemalangan itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dengan Perodua Viva, pukul 6.15 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila Toyota Alphard dipandu dari arah Kota Bharu, Kelantan ke Johor Bharu bertembung dengan Perodua Viva yang datang secara tiba-tiba dari arah bertentangan.

“Pemandu Perodua Viva dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya, namun gagal sebelum bertembung dengan Toyota Alphard berkenaan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

Beliau berkata, pemandu dan empat penumpang Toyota Alphard itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemandu Perodua Viva serta empat penumpang, termasuk seorang bayi juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan dan bayi itu disahkan meninggal dunia di hospital.

“Pemandu Toyota Alphard, Aiza Romainor, 40, mengalami kecederaan parah di kepala, manakala penumpang, Sharifah Amanda Zuhaira Syed Zuanda berusia setahun patah di bahagian peha sebelah kiri.

“Dua lagi penumpang Perodua Via yang parah Siti Fatimah Abdullah, 34, dan anaknya, Nur Al Jannah Mohamad Budiman berusia lima tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *