EMPAT juruteknik syarikat swasta maut apabila van dinaiki mereka yang dalam perjalanan dari Setiu ke Kuala Terengganu, terlibat dalam kemalangan di Kampung Sungai Ikan, di Kuala Nerus petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus Azmi Omar berkata kemalangan yang berlaku pada 6.22 petang itu turut melibatkan sebuah kereta Proton Wira dan Proton Persona dari arah yang sama, serta sebuah bas ekspres dari arah Temerloh, Pahang menuju ke Jertih.
“Ketika sampai di tempat kejadian kami mendapati seorang mangsa yang menaiki van telah dikeluarkan orang awam manakala tiga lagi mangsa yang maut masih berada di dalam van tersebut.
“Kejadian itu turut menyebabkan pemandu Proton Wira dan penumpang Proton Persona mengalami kecederaan, manakala 13 penumpang bas ekspres termasuk pemandu, serta pemandu Proton Persona tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi insiden.
Mangsa yang maut adalah Syed Mohd Shukri Tuan Yahya, 36; Muhammad Saufi Jusoh, 34; Mohd Shahlan, 37, dan pemandu van yang masih belum dikenal pasti identitinya.
Azmi berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila van tersebut gagal memotong kereta Proton Wira sebelum bertembung dengan bas ekspres dari arah bertentangan.
Katanya, perlanggaran itu menyebabkan kereta Proton Wira berkenaan merempuh kereta Proton Persona yang berada di laluan sama.
Menurut Azmi, seramai 18 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus dan BBP Kuala Terengganu bersama tiga jentera terlibat dalam operasi mengeluarkan mangsa.
Beliau berkata keseluruhan operasi selesai sepenuhnya pada 9.20 malam tadi dan keempat-empat mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
— BERNAMA
Leave a Reply