EMPAT bekas exco kerajaan negeri Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terperinci berhubung isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.
Bekas exco berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji Howard Lee Chuan How; ADUN Manjoi Datuk Asmuni Awi; ADUN Sungai Rapat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta ADUN Simpang Pulai Tan Kar Hing.
Howard Lee berkata isu penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) seluas 188 hektar itu kepada sebuah syarikat swasta tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri atau Lembaga Pengarah PKNP ketika itu.
“Kami percaya ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menyalahgunakan kuasa melakukan rundingan secara senyap-senyap dengan pembeli tanah tanpa pengetahuan barisan exco kerajaan negeri ketika itu mahupun Lembaga Pengarah PKNP.
“Selain ingin membersihkan reputasi PH, laporan dibuat kepada SPRM hari ini adalah bagi menuntut siasatan yang lengkap dan terperinci dibuat terhadap pihak terlibat dalam penyalahgunaan kuasa,” katanya kepada pemberita ketika hadir mengiringi Asmuni di pejabat SPRM Perak di sini hari ini.
Khamis lepas, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan PH kerana semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN), ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.
Sebelum ini, ADUN Aulong Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Nga berkata perbuatan itu dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab, dan perkara itu adalah salah laku serius dan mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya menerima laporan itu hari ini.
— BERNAMA
Leave a Reply