PEMBANGKANG yang terdiri daripada parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) serta Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masih belum serik selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac lalu.
PH hanya menang 12 daripada 50 kerusi yang ditandingi, di mana DAP menang 10 kerusi manakala Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR masing-masing cuma dapat satu kerusi.
Pejuang mula mendapat malu besar apabila gagal menang walau satu kerusi pun dan hilang deposit di kesemua 42 kerusi manakala Warisan juga dapat sifar daripada enam kerusi yang ditandinginya calonnya.
MUDA pula nampak macam ‘gempak’ apabila meminta lebih daripada enam kerusi yang pada mulanya diperuntukkan oleh DAP, PAN dan PKR sehingga sanggup bertembung dengan kawan sendiri di Larkin.
Akhirnya, hasil yang diharapkan tidak ke mana apabila MUDA yang mampu menang satu kerusi sahaja di Puteri Wangsa. Itu pun memang kerusi yang dianggap selamat untuk PH.
Sebelum itu, PH kalah teruk pada PRN Melaka di mana DAP, PAN dan PKR yang bertanding di bawah logo yang sama hanya mampu meraih lima kerusi. DAP dapat empat kerusi, PAN satu kerusi manakala PKR pula dapat ‘telur’.
Seperti yang diketahui umum, walaupun Barisan Nasional (BN) beroleh majoriti lebih dua pertiga dalam kedua-dua PRN, peratusan undi majoriti yang diterimanya adalah agak rendah.
Di Melaka, BN beroleh 38.64 peratus undi popular manakala PH menerima 35.4 peratus dan Perikatan Nasional (PN) 24.47 peratus.
Pada PRN Johor pula, BN meraih 43.11 peratus undi popular manakala PH menerima 26.42 peratus, PN 24.04 peratus, MUDA 3.46 peratus, Pejuang 1.34 peratus dan Warisan 0.47 peratus.
Jika dihitung, jumlah kumulatif undi yang diterima parti-parti pembangkang di kebanyakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengatasi angka yang diterima oleh calon BN yang menang.
Misalnya, di DUN Kemelah (Johor), BN beroleh 7,518 undi berbanding PH 5,907 undi, Pejuang 214 undi dan PN 4,639 undi. Jumlah kumulatif undi pembangkang adalah 10,760.
Begitu juga dengan kerusi DUN Larkin di mana Pejuang beroleh 810 undi, Muda 4,948 undi, PKR 6,448 undi dan PN 9,875 undi, menjadikan jumlah kumulatif 22,081 undi. Jauh lebih tinggi berbanding calon BN yang menang dengan 16,053 undi.
Pembangkang Johor juga beroleh undi kumulatif yang lebih tinggi berbanding BN di Tenang, Bukit Pasir, Gambir, Serom, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Parit Yaani, Parit Raja, Senggarang, Rengit, Mahkota, Tenggaroh, Tiram, Permas, Kempas, Kota Iskandar dan Bukit Permai.
Situasi serupa dapat dilihat di beberapa kerusi pada PRN Melaka, contohnya di Tanjung Bidara, Rembia, Machap Jaya, Pantai Kundor, Kelebang, Pengkalan Batu, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam dan Sungai Rambai.
Maknanya, parti-parti yang menentang UMNO dan BN mempunyai peluang untuk menang dalam kedua-dua PRN tersebut sekiranya mereka bekerjasama dan berunding agar mereka tidak bertembung sesama sendiri.
Kesilapan itu boleh ditebus pada pilihan raya akan datang khususnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bahangnya semakin terasa.
Malangnya, pemimpin-pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak mentah-mentah inisiatif Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berunding tentang persediaan menghadapi PRU-15.
Setakat ini, belum pasti apa pendirian rasmi PKR, PAN dan MUDA, namun dijangka mereka mungkin mengambil sikap yang serupa dengan ‘abang besar’ mereka.
Jika jalan itu yang dipilih, pasti akan berlaku pertembungan banyak penjuru pada PRU-15 sekali gus memberi kelebihan kepada BN, seperti yang berlaku pada PRN Johor dan Melaka.
Sekiranya PH dan parti-parti pembangkang yang lain tidak mahu menggigit jari melihat UMNO dan BN yang dikuasai kluster mahkamah beroleh kemenangan besar pada PRU-15, mereka mesti mengetepikan ego yang besar.
Bukalah pintu untuk berunding dengan PN yang juga mempunyai pengaruh dan keupayaan yang besar untuk memancing undi rakyat yang menolak rejim kleptokrasi UMNO-BN.
Leave a Reply