TIBA masa untuk Pakatan Harapan (PH) meneliti tentang peralihan pengundi atas pagar yang kini dilihat cenderung kepada Perikatan Nasional (PN).
Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, terdapat data-data yang dikumpulkan menunjukkan golongan itu kini melihat Barisan Nasional (BN) dan PN merupakan dua kuasa politik utama di negara ini menyebabkan ada antara mereka beralih kepada gabungan PN.
“Dalam keadaan begini, kalau PH dan PKR tidak berhati-hati, dia ada kemungkinan di mana kawasan pengundi Melayu lebih tinggi bahawa perebutan itu berlaku antara BN dan PN.
“Itu akan menyebabkan PH berada di tempat ketiga. Kalau itu berlaku dalam dinamik politik pelbagai parti di negara lain, parti ketiga akan kurang mendapat tempat kerana pengundi atas pagar sebenarnya menentukan siapa yang menang.
“Pengundi atas pagar hanya memberikan tumpuan kepada dua persaingan, yang ketiga itu tidak beri kesan,” katanya dalam temubual khas SkopMG berjudul Saya Kembali Demi Rakyat malam tadi, lapor portal Malaysia Gazette.
Justeru, PH kata Rafizi perlu segera bangkit dan memberikan perhatian sepenuhnya mengenai isu ini sekiranya mahu diangkat kembali sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.
“Ada tanda-tanda disebabkan peralihan pengundi PH kepada PN. Itu perlu diambil perhatian dengan teliti sebab itu bagi saya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, undi terhadap BN dan UMNO masih kekal kepada 40 peratus bersandarkan kepada beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Katanya, itu hanya merupakan sentimen yang dicanang semata-mata untuk mengaburi mata masyarakat BN dan UMNO mula diterima rakyat.
“Daripada beberapa PRN yang lalu, nampak seperti pengundi atas pagar terutamanya pengundi Melayu di mana pada PRU-13 sebenarnya mengundi PH dan tidak ada tanda-tanda mereka beralih atau kembali ke BN kerana undi UMNO tidak meningkat.
“Dalam semua PRN undi UMNO BN kekal sekitar 40 peratus, lebih kurang sama ketika PRU-13 cuma dengan kehadiran Bersatu selepas Langkah Sheraton bergabung dengan Pas walaupun jumlah pengundi tegar mereka sebenarnya kecil pada awalnya tetapi atas kelemahan PH dan PKR, segala perebutan politik yang berlaku pada tahun yang lalu, saya nampak ada peralihan pengundi-pengundi atas pagar yang sebelumnya mengundi PH ke arah PN.
“Ini mewujudkan tiga gabungan yang lebih kurang sama kuat,” katanya lagi.
Leave a Reply