BEKAS berisi kacang soya diletakkan di atas lantai di dalam tandas manakala kawasan kilang berbau hancing dengan air kencing tikus.
Itu situasi di sebuah kilang yang menghasilkan produk berasaskan soya di Batu Lanchang, Pulau Pinang ketika diserbu Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) hari ini.
Lebih menjijikkan, najis tikus turut dijumpai di kilang itu selain sarang lipas di dalam tempat penyimpanan kacang soya manakala bekas penutup soya pula didapati sudah berkulat.
Sehubungan itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran BKKM, Mohd. Wazir Khalid berkata, pihaknya mengarahkan kilang tersebut ditutup selama 14 hari bagi kerja-kerja pembersihan selain dikenakan kompaun sebanyak RM5,500.
Jelas beliau, kilang yang sudah beroperasi kira-kira 10 tahun itu pernah diserbu dua tahun lalu dan turut diarahkan tutup ketika itu manakala pemiliknya dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
Bagaimanapun ujarnya, selepas beberapa intipan, kilang yang menghasilkan produk seperti air soya, taufufa dan tauhu untuk pasaran di sekitar Georgetown itu diserbu sekali lagi hari ini dan didapati masih beroperasi dalam keadaan menjijikkan.
“Keitka serbua dilakukan, dapat dilihat dengan jelas tikus berkeliaran di kilang ini manakala najis haiwan perosak itu pula boleh dijumpai di merata-rata tempat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyertai Ops Tegar Siri 2 di sekitar daerah Timur Laut, Georgetown hari ini.
Dalam pada itu Mohd. Wazir berkata, pemilik kilang tersebut memberi alasan tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di kilang tersebut kerana hanya ada tiga pekerja termasuk dua warga asing.
Bagaimanapun tegas beliau, alasan itu tidak boleh diterima kerana aspek kebersihan dan keselamatan tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pemilik premis penghasilan makanan.
“Pemilik premis makanan perlu sedar kehadiran makhluk perosak seperti tikus amat merbahaya kerana boleh menyebabkan pencemaran silang serta menjadi punca penyakit kencing tikus,” katanya.
Sementara itu tambah Mohd. Wazir, dalam satu lagi serbuan di kilang pembuatan mi dan kuetiau di Jalan Perak, pihaknya turut mendapati premis tersebut beroperasi dalam keadaan kotor.
“Selain peralatan membuat mi dan kuetiau yang dipenuhi habuk, kita turut mendapati peralatan di kilang itu dipenuhi lendir yang dipercayai tidak pernah dibasuh,” katanya.
Sehubungan itu jelasnya, kilang itu juga diarahkan tutup selama 14 hari untuk kerja-kerja pembersihan manakala pemiliknya turut dikenakan kompaun sebanyak RM5,500.
Leave a Reply