Pekerja Bangladesh maut ketika periksa mesin penampat kertas

SEORANG pekerja maut ketika memeriksa pengoperasian mesin pemampat kertas, di sebuah kilang pengumpulan bahan kitar semula di Menglembu, di Ipoh, kira-kira 6.50 petang semalam.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan berkata mangsa yang merupakan warganegara Bangladesh berumur 34 tahun, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah. 

“Difahamkan mangsa memeriksa pengoperasian mesin pemampat kertas yang sedang beroperasi secara automatik. Mangsa telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran mesin pemampat tersebut dengan kecederaan parah pada belakang leher oleh rakan sekerjanya.

“Susulan daripada siasatan awal yang dijalankan, JKKP mengeluarkan lima notis larangan kepada pihak majikan berkaitan pengoperasian mesin pemampat dan seterusnya mengarahkan supaya aktiviti kerja melibatkan mesin pemampat dihentikan serta-merta sehingga notis dipatuhi oleh pihak majikan

“JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut menyebut, JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *