CALON Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat ramalan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam tempoh empat bulan dari sekarang.
Malaysiakini yang memetik The Star melaporkan, bekas Ahli Parlimen Pandan itu membuat jangkaan tersebut atas beberapa faktor.
Antaranya adalah memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) yang memperuntukkan Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai dan tempoh berakhir musim mengerjakan ibadah haji.
“Empat bulan adalah masa yang singkat (dari sekarang). Dan saya tidak terkejut jika ia diadakan pada bulan Ogos atau September.
“Jika saya dalam UMNO, saya akan menggesa pilihan raya umum diadakan pada akhir Julai,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kesediaannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Pandan sekali lagi jika pimpinan parti membenarkannya untuk berbuat demikian.
“Ahli politik mesti fokus untuk berkhidmat kepada rakyat. Selalunya ahli politik berebut jawatan parti supaya dapat jawatan kerajaan.
“Kebanyakan tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat. Itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika berucap di forum Concorde Club.
Menurut Rafizi, beliau telah mendapat sambutan menggalakkan setakat ini sejak menyuarakan hasratnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, bersama dengan kempen ‘Ayuh Malaysia’.
Rafizi berkata, kempen itu dimulakan untuk menarik sokongan pengundi atas pagar menjelang PRU-15 dan menggalakkan lebih ramai orang untuk menjadi sukarelawan untuk PKR.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Rafizi telah membuat kejutan dalam partinya, PKR, selepas mengumumkan beliau akan bertanding jawatan timbalan parti itu dalam pemilihan PKR akan datang.
Ia mengejutkan banyak pihak memandangkan sebelum ini dia mengambil keputusan untuk berehat daripada politik pada 2019, walaupun pada masa sama menyandang jawatan Naib Presiden parti.
Rafizi berkata, beliau kembali ke arena politik berikutan beberapa siri kegagalan PH dan PKR dalam empat pilihan raya negeri, yang terbaharu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada bulan lalu.
Reputasi Rafizi dalam PKR dikenali sebagai pemimpin yang lantang bersuara dalam pelbagai isu semasa termasuklah konflik dalaman partinya.
Sebelum ini, beliau telah beberapa kali mengkritik keputusan parti itu secara terbuka.
Leave a Reply