Pejuang Bersatu PAS

PRU-15: Pejuang terbuka kerjasama dengan Bersatu, PAS

Oleh RIZQI ZABIDI

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak kisah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pejuang terbuka untuk menjalinkan kerjasama tersebut asalkan parti-parti terlibat termasuk Bersatu dan PAS bersifat ikhlas dan bersih.

“Kalau dia ikhlas dan bersih, kita terima. Kita tak kisah siapa pun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan bakul Ramadan kepada ahli kariah Masjid Nur Al-Naim, Jalan Makam Mahsuri di Langkawi, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun menegaskan, dakwaan di media sosial mengenai penubuhan Gerakan Pejuang Nasional (GPN) yang turut melibatkan kedua-dua parti itu selain Gerakan dan Parti Warisan Sabah (Warisan) setakat ini tidak berlaku.

“Waktu ini kita tak bergabung dengan sesiapa sebab kalau kita nak bergabung dengan parti lain, mereka nak buat cara dia, kita nak buat cara kita.

“Kita cuba berjuang untuk orang Melayu supaya orang Melayu tidak meminta-minta pada orang lain. Itu perjuangan kita tetapi orang yang datang dari parti lain, mereka asyik kira duit, nak bagi duit sana dan sini beli undi.

“Itu kita tak bolehlah. Kita anggap beli undi itu satu jenayah, satu kesalahan,” katanya.

Mengulas mengenai kekalahan Pejuang di Johor, Dr Mahathir berkata antara punca kekalahan tersebut adalah kerana parti itu tidak mempunyai duit.

“Orang (parti) lain semua bagi duit sampaikan bila kita telefon orang untuk kempen supaya undi Pejuang, mereka tanya berapa nak bagi duit?

“Dia kata UMNO bagi RM200 dan tanya nak bagi berapa? Kita kata tak boleh bagi apa pun pasal kita tak ada duit sedangkan parti ini hanya berjuang untuk bangsa dan negara.

“Jadi dia tak undi kita, dia nampak RM200. Sedangkan RM200 itu boleh tahan lama mana?” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *