MPP UiTM gesa tindakan terhadap pensyarah didakwa perlekeh B40

MAJLIS Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia mendesak pengurusan tertinggi universiti itu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap seorang pensyarah yang didakwa menghina golongan B40.

Dalam klip video yang tular di media sosial, pensyarah wanita terbabit dilihat memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan seolah-olah memperlekeh golongan berpendapatan rendah.

Malaysiakini melaporkan, Yang Dipertua MPP UiTM, Rasydan Mohd Hassan berkata, tindakan pensyarah itu tidak wajar, bahkan UiTM sendiri dibina atas dasar membantu lebih ramai mahasiswa Melayu dan Bumiputera mendapatkan pendidikan di peringkat tertinggi.

“Kenyataan menghina dan memperlekeh golongan B-40 adalah tidak wajar dibuat oleh mana-mana pihak.

“Saya mewakili seluruh keluarga MPP UiTM mendesak pengurusan tertinggi universiti untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan wajar dan selayaknya kerana pensyarah tersebut telah merosakkan imej universiti ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, video klip berdurasi 1 minit 45 saat itu memaparkan seorang pensyarah bertaraf profesor memarahi seorang mahasiwa kerana menggunakan telefon bimbit dan bukan komputer riba ketika sesi pembelajaran secara dalam talian.

Pensyarah wanita itu dilihat bertanya mengenai ibu bapa pelajar itu, di mana pelajar tersebut menjawab bapanya tidak bekerja dan ibunya sudah tiada.

“Kau cakap dengan kakak kau, kalau dia ada gelang emas, pergi jual gelang emas, pergi beli komputer. Harga lapan ratus saja beli komputer. Apa masalah kau? Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40. Dia lebih memikirkan pasal lain daripada pelajaran,” kata pensyarah tersebut.

Mengulas lanjut, Rasydan berkata, pensyarah berkenaan sepatutnya memahami keadaan negara yang masih dilanda pandemik menyebabkan hampir semua rakyat Malaysia berhadapan kesulitan ekonomi.

“Manifestasi yang sering disuarakan oleh pihak pengurusan universiti bahawa mahasiswa adalah tonggak universiti perlulah dizahirkan dengan mengambil tindakan tegas kepada pensyarah tersebut dan juga kepada mana-mana individu yang membuat tindakan sama selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad berkata pihaknya sedia maklum mengenai rakaman video berkenaan dan telah berhubung dengan pihak UiTM untuk mendapatkan penjelasan.

“Saya ambil maklum mengenai isu dan video yang tular ini. Saya telah berhubung dengan pihak @uitmofficial untuk meminta penjelasan mereka,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *