SEBUAH kilang memproses pau dan dimsum di Medan Melor Selatan, di Butterworth diarah tutup selama dua minggu berikutan keadaan premis yang kotor dan menjijikkan, termasuklah terdapat najis tikus di ruang pemprosesan makanan dan stor.
Selain penemuan najis tikus, pihak berkuasa turut menemui tikus dan lipas di situ, malah pemiliknya juga membiarkan tiga ekor anjing berkeliaran dalam kawasan pemprosesan makanan tersebut.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid, berkata, pihaknya menjalankan serbuan menerusi Ops Tegar bermula pukul 10 pagi hari ini, hasil risikan dan intipan sejak sebulan lepas dan mendapati rumah teres setingkat yang dijadikan kilang itu, tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.
Katanya, notis penutupan selama 14 hari itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, dikeluarkan bagi membolehkan pengusaha premis melakukan kerja-kerja pembersihan.
“Pemeriksaan juga mendapati kilang tersebut beroperasi tanpa lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), malah pemiliknya turut membiarkan tiga ekor anjing berkeliaran di kawasan pemprosesan makanan sedangkan tiada haiwan peliharaan dibenarkan berada di situ.
“Selain itu, kilang tersebut juga berada dalam keadaan kotor dan premis tersebut yang beroperasi sejak 10 tahun lepas, pernah diserbu pada tahun 2019 kerana kesalahan yang sama namun sehingga kini masih tidak mengikut peraturan serta menjaga kebersihan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu, hari ini.
Mohd Wazir berkata, semasa serbuan dijalankan terdapat dua pekerja warga asing di kilang yang mengedarkan produk pau dan dimsum sekitar Butterworth itu.
Katanya kilang tersebut turut dikenakan tiga kompaun oleh pihaknya dan masing-masing satu kompaun daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melibatkan nilai keseluruhan RM5,300.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah kilang memproses bebola ikan di Raja Uda, di sini dan mendapati pemilik kilang gagal mematuhi program keselamatan makanan iaitu antaranya pekerja tidak memakai sarung tangan, ketika mengendalikan proses pembuatan makanan.
“Kilang itu mempunyai sijil program keselamatan makanan namun pemeriksaan kami mendapati pekerja-pekerjanya tidak mengikut dari segi peraturan dan kebersihan ditetapkan dan saya minta pegawai teknologi makanan dapat membuat pemantauan secara berkala, bagi memastikan semua pengilang makanan mematuhinya,” katanya.
Menurutnya dalam pemeriksaan di situ, pihaknya mengeluarkan dua kompaun dan empat notis yang kesemuanya bernilai RM2,900, antara kesalahan produk tidak mempunyai label serta kesalahan meletakkan produk makanan di atas lantai.
Operasi kira-kira tiga jam itu turut disertai penguat kuasa dari MBSP dan KPNDHEP Pulau Pinang. – BERNAMA
Leave a Reply