UMNO dan PAS tidak akan berada dalam kerajaan yang dibentuk pada masa ini sekiranya tiada penyertaan Bersatu di dalamnya.
Hakikat itu diingatkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Memetik laporan Suara TV, beliau berharap semua pihak bergerak ke arah mewujudkan muafakat umat tanpa perlu menyalahkan satu sama lain.
“Saya mengharapkan semua pihak, saya sebut semua pihak untuk bergerak ke arah mewujudkan muafakat umat tanpa kita menyalahkan satu sama lain. Itu lebih baik daripada kita meletakkan beban orang itu salah, orang ini salah.
“Baik kita move forward ke depan ke mana untuk umat ini untuk kita satukan dan semua orang ada sumbangan kita harus akui.
“Contohnya parti Bersatu, tanpa mereka keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sama ada UMNO atau PAS tidak akan duduk dalam kerajaan,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pernah menyebut bahawa PAS menjadi punca usaha Muafakat Nasional (MN) tergendala sehingga hari ini.
Walau bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berpendirian tidak mahu menyalahkan pihak lain.
“… jadi sumbangan dia (Bersatu) pun ada. Jadi semua pihak harus menghargai sumbangan-sumbangan yang ada bagi saya lebih baik kita tengok ke depan daripada kita menyalahkan satu sama lain akhirnya tidak ada jalan penyelesaian. Itu pandangan peribadi saya lah,” jelasnya.
Leave a Reply