PEREBUTAN jawatan Naib Presiden dijangka sengit apabila Ketua Setiausaha Pengelola parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan akan turut bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan Mei ini.
Sebelum ini beberapa nama dikatakan akan turut merebut jawatan itu iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang dan bekas Ahli Parlimen Kapar G Manivannan.
Nik Nazmi yang mengumumkan keputusan di saluran YouTubenya, hari ini berkata, keputusan itu diambil susulan “detik-detik kekecewaan” yang dilalui PKR sejak dua tahun lalu termasuk “Langkah Sheraton” dan kekalahan dalam siri pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.
Katanya, PKR perlu diperkukuhkan sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Pengumuman sahabat saya Rafizi Ramli yang bawa saya masuk parti pada usia 19 tahun untuk kembali aktif bertanding timbalan presiden telah disambut dengan sangat positif. Bukan hanya anggota parti tapi orang ramai yang mahu alternatif politik BN dan PN.
“Saya berhasrat untuk bantu usaha tersebut dan dengan ini saya mahu tawarkan diri bertanding naib presiden parti,” katanya lapor FMT.
Nik Nazmi berkata, beliau juga mahu ahli PKR menawan semula pengundi bagi mendepani PRU15.
“Saya yakin ini gandingan terbaik, Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Rafizi Ramli, dengan gandingan pasukan pelbagai kaum dari Perlis hingga Sabah, lelaki dan wanita, saya yakin kita mampu untuk terus buktikan Keadilan bukan sahaja relevan hari ini tapi relevan masa depan,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu.
Pemilihan parti bagi penggal 2022-2025 akan berlangsung dari 13-18 Mei.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dijangka dicabar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Leave a Reply