Filem-drama tempatan umpama kompas moral yang bercelaru, tiada hala tuju

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

BABAK panas dimuat naik pelakon Zul Ariffin bagi mempromosikan drama terbaharu lakonannya yang akan ditayangkan pada Ramadan nanti meledak dan menjadi kritikan sepanjang minggu lalu.

Banyak pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menyifatkan paparan itu sebagai melampaui batas dan perlu ditegur.

Menariknya potongan klip drama Perempuan Itu yang dimuatkan dalam Instagram milik pelakon tersebut turut mendapat perhatian menteri lain, pendakwah dan pemimpin persatuan yang kecewa dengan penularan video berkenaan.

Malah turut menerima kecaman hebat netizen. Ada yang menganggap apa yang cuba dipertontonkan kepada umum sebagai satu perkara yang tidak wajar dan tak kurang juga menganggap itu sebagai babak ‘soft porn’ versi Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, nama Siti Hariesa juga meledak dan sedikit sebanyak mempopularkan nama pelakon baharu itu dengan cara yang kurang manis.

Dan sudah menjadi kebiasaan, mereka yang berkenaan akan memohon maaf dan memaklumkan selepas ini akan lebih berhati-hati. Mudah bukan?

Lebih menghairankan, adakah kandungan cerita Perempuan Itu sesuai ditayang semasa Ramadan atau ini satu lagi drama yang menawarkan plot cerita basi dan tipikal seperti ditayangkan siaran televisyen percuma atau stesen televisyen berbayar?

Sejak kebelakangan ini sering kita dengar atau lihat, penggiat drama atau filem tempatan secara umumnya suka mencetuskan kontroversi. ‘Kebetulan’ kontroversi itu pula berlaku semasa drama atau filem terbabit bakal ditayangkan.

Tidak dapat dipastikan ‘kontroversi secara kebetulan itu’ sengaja dicipta untuk publisiti murahan atau cara mempromosi ‘hasil buah tangan mereka’ bagi mencari jalan meningkatkan ‘rating’ kerana umum mengetahui kualiti drama dan filem Melayu.

Banyak drama dan filem Melayu yang kita dapat nilaikan sekadar hiburan kosong dan apabila menyelitkan mesej tertentu ‘kurang menjadi’.

Karya dihasilkan lebih untuk memenuhi kantung penggiat filem yang kadang-kadang tidak layak pun dipanggil ‘karyawan’ atau seniman.

Tidak dinafikan banyak ‘karya’ dihasilkan bertaraf sampah, jauh sekali untuk membina atau menyumbang kepada kecelaruan sosial dan perkembangan masyarakat madani yang semakin bergerak dalam jajaran milenium.

Malah dalam keadaan tertentu, kandungannya membantu dalam proses ‘pembaratan masyarakat’ hingga menambah kegawatan dan kepincangan sosial. Ini mencetuskan krisis moral yang lebih buruk.

Bertambah bercelaru apabila drama atau filem sampah dipilih untuk menerima anugerah atau berstatus box office – sedangkan kandungan cerita yang ditayangkan tidak layak sama sekali untuk mendapat anugerah atau status sedemikian.

Filem hebat dan berbentuk sejarah, Lion Of The Desert antara karya agung yang masih malar segar sehingga kini serta tidak perlukan kontroversi murahan

Mereka yang buta seni filem sudah tentu menganggap itu tidak mengapa tetapi bagi pencinta seni sebenar atau mereka yang mempunyai apresiasi seni yang tinggi, realiti itu adalah amat memalukan.

Itu belum cerita lagi apa peranan dan fungsi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Namanya perbadanan kemajuan filem!

Cuba kita lihat satu masa dahulu kebanjiran drama atau cerita-cerita hantu atau bercorak gangster yang bukan memandu masyarakat, sebaliknya menyuburkan kepercayaan tahyul dan perkembangan gangsterisme.

Lambakan karya seperti ini yang hanya menguntungkan golongan penerbit tidak memberi sebarang faedah terhadap sosialiti atau nilai-nilai bermasyarakat – jauh sekali membina masyarakat moden, bertamadun dan Islami.

Karya yang dihasilkan meloyakan, menghina intelek masyarakat alaf baharu malah kadang-kadang malu untuk kita menontonnya.

Mereka mempamerkan kompas moral yang bercelaru dan hilang hala tuju. Teknologi sudah jauh berkembang tetapi industri filem masih terbantut, tidak berkembang malah tidak bercambah idealismenya – masih terperosok di bawah tempurung.

Seakan-akan mengalami mandul pemikiran dan tumpul idealisme hingga tiada tonik atau ubat mujarab untuk merawatnya – hanya memikirkan keuntungan tanpa ada rasa tanggungjawab terhadap kebejatan sosial yang berlaku ketika ini.

Lebih teruk ada ‘karyawan’ menganggap melakukan babak panas sebagai lambang kemajuan dalam filem kerana dilihat berani dan ‘setanding’ barat.

Apabila karya dikritik, mereka yang berkenaan akan memberikan alasan rakyat Malaysia tidak menyokong industri sendiri, tidak membantu industri filem tempatan dan sebagainya sedangkan kualiti filem masih pada tahap yang sama.

Mereka sepatutnya bukan sahaja menghasilkan karya yang bermutu (kalau tidak bersifat global) tetapi juga mempunyai peranan dalam memberikan kesedaran dan penghayatan tinggi terhadap apresiasi seni.

Diakui memang ada karya termasuk daripada penggiat filem indipenden yang boleh dibanggakan tetapi tidak diangkat ke tempat selayaknya.

Tidak ada salahnya jika menyimpang idea daripada kebiasaan dengan melakukan eksperimentasi iaitu mempelbagaikan genre drama atau filem agar tidak klise dan lari daripada norma.

Janganlah balik-balik hasilkan cerita cinta, cerita hantu, cerita korporat Melayu atau cerita-cerita yang tidak realistik.

Banyak terma atau kisah rakyat Malaysia yang penuh warna warni boleh diangkat ke layar perak sebagai cerminan atau menjadi ‘kamera litar tertutup’ (CCTV) sebenar kepada kehidupan masyarakat majmuk.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *