SIAPA yang tak bengang bila isteri kesayangan dijadikan bahan lawak di hadapan khalayak ramai.
Aktor Hollywood, Will Smith tidak dapat menahan sabar apabila Chris Rock bergurau tentang kepala isterinya, Jada Pinkett yang dicukur botak pada majlis Anugerah Oscar malam tadi.
Memetik laporan Mirror, bintang siri komedi Fresh Prince of Bel Air itu mengejutkan para selebriti yang hadir dan penonton di rumah apabila di melempang muka Chris.
Insiden yang menggemparkan itu dapat dilihat secara langsung melalui kaca televisyen.
Ketika menyampaikan anugerah untuk kategori dokumentari utama terbaik, Chris membuat lawak bodoh tentang rambut Jada.
“Jada, tak sabar menunggu untuk GI Jane 2,” katanya.
Will yang langsung tidak terhibur dengan lawak Chris terus meluru ke atas pentas dan melempang aktor komedi itu sebelum kembali ke tempat duduknya.
“Jangan sebut nama isteri saya!” jerit Will.
Lawak biadab yang dibuat oleh Chris adalah merujuk kepada filem GI Jane yang diterbitkan pada 1997.
Dalam filem tersebut, Demi Moore yang memegang watak utama mempunyai fesyen rambut yang serupa dengan Jada.
“Wau, Will Smith baru saja melempang saya. Ini merupakan malam yang paling hebat dalam sejarah televisyen,” kata Chris.
Will kemudian dianugerahkan Oscar sulungnya atas watak yang dilakonkannya dalam King Richard.
Beliau turut meminta maaf atas tindakannya melempang Chris sebelum itu.
“Saya kelihatan seperti bapa yang gila, seperti yang mereka katakan tentang Richard Williams, namun cinta membuatkan kita melakukan perkara yang gila.
“Terima kasih atas penghormatan ini, terima kasih atas saat ini… saya harap Akademi akan menjemput saya pada masa akan datang,” katanya.
Sebelum ini, Jada menjelaskan bahawa dia mencukur kepalanya disebabkan oleh penyakit alopecia yang dihidapi menyebabkan rambutnya gugur.
Dia mengumumkan perkara itu dalam Instagram tahun lalu serta berkongsi pengalamannya menghidap penyakit tersebut.
Leave a Reply