POLIS menahan seorang anggota tentera selepas menyamun seorang wanita di hadapan sebuah farmasi di Kota Sentosa, Kuching, 12 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 21 tahun berjaya ditahan polis pukul 4.10 petang semalam.
Menurutnya, suspek yang berasal dari Melaka itu dilaporkan melakukan jenayah berkenaan pada 4.12 petang, 12 Mac lalu.
“Suspek mendakwa terdesak kerana tidak mempunyai wang hingga nekad untuk menyamun mangsa. Menerusi laporan mangsa berusia 38 tahun itu, wanita berkenaan mendakwa ketika dia masuk ke keretanya, seorang lelaki tidak dikenali meluru masuk melalui pintu belakang kenderaannya.
“Suspek kemudian memaut leher menggunakan kedua-dua lengannya. Mangsa juga mendakwa berasa seperti ada benda tajam yang disyaki pisau lipat diletakkan di lehernya.
“Mangsa menggigit lengan suspek lalu menekan hon kereta namun suspek sempat mengambil wang tunai RM26 dari beg tangan mangsa sebelum melarikan diri,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Katanya, mangsa yang tidak mengalami kecederaan kemudian tampil membuat laporan polis mengenai insiden menimpanya itu.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan jenayah itu di kawasan berkenaan.
“Suspek mendakwa dia melakukan kegiatan samun itu akibat terdesak kerana duit perbelanjaan tidak mencukupi,” katanya.
Pihaknya turut merampas sebilah pisau pemotong kertas yang dipercayai digunakan untuk menyamun.
Abang Zainal berkata, suspek yang masih bujang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan permohonan reman akan dilakukan dalam masa terdekat selepas keputusan saringan air kencing diperoleh.
Leave a Reply