KPDNHEP pantau kenaikan harga makanan bazar Ramadan

KENAIKAN harga makanan mungkin tidak boleh dielak berikutan perubahan harga bahan mentah di pasaran.

Bagaimanapun kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, menjadi satu kesalahan sekiranya keuntungan yang diambil terlampau tinggi.

Susulan itu katanya, lebih 2,200 penguat kuasa dan dibantu kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga KPDNHEP akan melakukan pemantauan di bazar Ramadan seluruh negara susulan jangkaan berlakunya kenaikan harga makanan.

“Peniaga mungkin akan melakukan perubahan harga jual untuk menampung kos dan jika kita terima aduan harga makanan dijual melampau dan tidak munasabah, kita akan lakukan siasatan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Apresiasi Kepenggunaan bersama Media Terengganu di Hotel Paya Bunga, di Kuala Terengganu, malam tadi.

Rosol mengulas laporan mengenai harga makanan yang dijual di bazar Ramadan dijangka meningkat antara 20 hingga 30 peratus bagi menampung kos peningkatan harga bahan mentah.

Menurut Rosol, kenaikan harga perlu setara dengan peningkatan kos di peringkat pengeluar, pemborong, pengedar, peruncit dan ia tidak boleh melebihi daripada kadar sepatutnya, namun sekiranya berlaku KPDNHEP boleh melakukan siasatan secara menyeluruh.

“Jika dari pemborong kepada peniaga peningkatan hanya 10 peratus, tidak patutlah peniaga kenakan kenaikan kepada pengguna sehingga 30 peratus,” katanya.

Oleh itu beliau berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan oleh penguat kuasa dengan dibantu pegawai pemantau harga bagi memastikan harga makanan dijual di bazar Ramadan adalah munasabah dan berpatutan.

“Peniaga boleh menentukan sendiri harga jualan makanan kepada pengguna. Namun, kita akan menjalankan siasatan sekiranya mendapat aduan harga jualannya melampau atau tidak munasabah.

“Sekiranya siasatan kita mendapati kenaikan harga itu tidak munasabah dan berlaku pencatutan berdasarkan dokumen pembelian di setiap rantaian tadi, maka mereka akan dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *